Friday, May 23, 2008

Corruption - Let IRB deal with it


Melalui pengalaman dan cerita kawan-kawan, pada zaman mutakhir ini perbelanjaan-perbelanjaan seperti ini (rasuah @ duit kopi) seolah-olah menjadi belanja pasti (darah daging @ duri dalam daging) di dalam perniagaan terutama sektor pembinaan dan projek kerajaan. Selalunya perbelanjaan-perbelanjaan seumpama ini dikenali sebagai ‘unexplained expenses’. Walaupun pihak LHDNM telah memberikan pandangan berhubung isu ini semasa dialog Jabatan Teknikal LHDNM dengan Persatuan Akauntan pada 15 Mac 2006 (Item 7 Appendix C), tetapi didapati tiada peruntukan yang jelas di dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sebagai menyahut seruan YAB Perdana Menteri dan salah satu sasaran keutamaan Pelan Integriti Nasional (PIN) (TEKAD 2008) iaitu mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan, saya merasakan satu peruntukan berkaitan dengan isu rasuah ini perlu dimasukkan ke dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 (mungkin pada Seksyen 39 ACP 1967). Peruntukan ini akan menunjukkan pihak Kerajaan adalah sangat serius di dalam menangani gejala jijik ini.

Berdasarkan kajian yang dibuat, didapati Australia melalui Income Tax Assessment Act 1997 mempunyai peruntukan seperti ini. Seksyen yang berkaitan adalah 26-52 dan 26-53. Kemungkinan kita juga boleh mengguna pakai seksyen-seksyen ini mengikut kesesuaian dan keselarasan dengan peruntukan Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Seksyen 10 hingga 20).

Saya juga secara peribadi sangat bersetuju dengan satu artikel dari akhbar The Star (Feb 13, 2007 yang bertajuk ‘Let the IRB deal with the corrupt’. Unit risikan dan pengesanan LHDNM perlu diperkemaskan. Adalah lebih baik sekiranya pihak LHDNM dapat bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) di mana kes-kes yang tidak mempunyai bukti-bukti yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah, diberikan sahaja kepada pihak LHDNM untuk menanganinya. Saya pasti ‘unexplained income’ ini sekurang-kurangnya dapat dicukai oleh pihak LHDNM.

Wallahu'alam.

No comments: