Friday, May 23, 2008

LHDNM - Pendaftaran Kontraktor (Kelas A, B & C)



Melalui semakan di laman web Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), didapati tiada maklumat atau dokumen berkaitan cukai pendapatan yang perlu dikemukakan semasa ingin membuat pendaftaran kontraktor. Borang permohonan juga didapati tiada ruangan untuk memasukkan no rujukan cukai pendapatan. Pada pendapat saya, sekurang-kurangnya no rujukan cukai pendapatan perlu dimasukkan semasa ingin membuat pendaftaran kontraktor. Ini bagi memastikan bakal kontraktor itu mempunyai fail cukai pendapatan dengan LHDNM serta seterusnya pendapatan syarikat tersebut dapat disalurkan semula kepada kerajaan melalui cukai pendapatan.

Ini dapat mencegah kes-kes seperti kelewatan pihak LHDNM mengesan syarikat-syarikat ini. Terdapat juga kontraktor-kontraktor yang hanya ditubuhkan semata-mata untuk menjalankan projek tertentu sahaja dan terus menutup syarikat tersebut sebaik sahaja sesuatu projek. Ini dapat dilihat sebagai langkah proaktif pihak LHDNM di dalam mengesan pembayar-pembayar cukai seperti ini.

Berdasarkan kepada pengalaman, didapati projek-projek kerajaan mempunyai nisbah untung bersih yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan projek swasta.

Ingin juga saya mencadangkan agar sistem integrasi dibuat di antara pihak LHDNM dengan pihak Kementrian Kewangan di mana penyaluran maklumat-maklumat berkaitan sesuatu kontrak dibuat dengan lebih efisien dan efektif. Sistem lama di mana surat-surat pemberitahuan dihantar melalui mel perlu digantikan dengan sistem atas talian (online system) sahaja. Maklumat-maklumat seperti syarikat yang menerima kontrak, nilai kontrak, tempoh kontrak serta sebarang kerja-kerja tambahan (VO) perlu sentiasa dikemas kini agar pihak LHDNM dapat mengambil tindakan yang selanjutnya. Sebagai langkah permulaan, mungkin tumpuan diberikan kepada kontraktor kelas A, B dan C terlebih dahulu iaitu untuk kos kerja / nilai kontrak melebihi RM 2 juta.

Saya percaya dengan terlaksananya cadangan ini, beberapa objektif penting dapat dicapai : -

Membesarkan asas cukai LHDNM

Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi

Meningkatkan tadbir urus korporat

Wallahu’alam.


No comments: